PRK: Undilah Calon Kerajaan Perpaduan Demi Kestabilan Masa Depan – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyeru semua pengundi khususnya ahli-ahli UMNO di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram untuk memberikan sokongan dan dukungan kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan demi masa hadapan.
Katanya, biapun yang bertanding di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram bukanlah dari UMNO/Barisan Nasional (BN) namun atas kesepaduan dan kesepakatan dalam persefahaman Kerajaan Perpaduan maka pilihlah calon PH.
“Ini adalah demi kesinambungan perpaduan dan kesejahteraan rakyat lantaran negara baru sahaja kembali stabil setelah pelbagai polemik serta krisis politik berlaku sejak BN tewas pada 2018.
“Benar, bukan sesuatu yang mudah bagi pengundi yang sebelum ini mendepani PRN Johor dengan mengundi BN namun kali ini atas kesepakatan BN memberikan sokongan kepada PH dan para pengundi juga perlu mengundi calon PH agar kelangsungan perancangan pembangunan dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.
Ujar Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, biarpun sebelum ini Presiden UMNO pernah melaungkan bahawa BN akan bergerak sendiri malah mengatakan ‘No Dap, No PKR’ tetapi hari ini anggota parti perlu berpijak di bumi nyata.
“Takdir Allah SWT tiada siapa dapat menjangka termasuk titah Baginda Yang di-Pertuan Agong perlu kita junjung. Apatah lagi tanah air kita mesti bangkit dan kembali bersaing di peringkat antarabangsa, rakyat perlu meneruskan kehidupan malah anak-anak generasi muda menuntut keamanan. Lantas tugas pengundi menentukan kepimpinan dalam PRK ini.
“Ini bukan lagi soal parti mana atau pihak mana yang bekepentingan malah jangan juga menuding jari kerana keutamaan kini adalah memberikan kemenangan untuk mengekalkan Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kekal bersama Kerajaan Perpaduan.
“Kepada yang berpengalaman marilah memberikan tunjuk ajar dan nasihat kepada pengundi muda agar mereka tak salah memilih. Dalam mengajar jangan pula mendabik dada dan bersifat angkuh kerana anak muda hari ini juga rasional dalam menentukan kepimpinan masa hadapan mereka.”
Dalam hal ini beliau mengajak agar menjadikan krisis politik pasca 2018 sebagai iktibar iaitu pentingnya kestabilan yang memberi kesejahteraan kepada rakyat.
“Ekonomi kita sudah tercicir disebabkan satu penggal tiga kerajaan bertukar tangan. Bukan sahaja orang luar tidak melabur malah pelabur yang ada pun lari ke negara jiran dengan banyak projek-projek mega yang dibangunkan BN telah dihentikan.
“Berpeganglah kepada tekad demi kestabilan dan kemakmuran yang akan menentukan masa depan stabil dengan kita kembali berusaha menyambung kemajuan yang terganggu dalam penggal yang lalu. Jadikan inspirasi kesatuan dalam kepelbagaian masyarakat majmuk Malaysia sebagai teras agar kebersamaan Kerajaan Perpaduan terus diaplikasi.
“Apa yang pasti teruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara malah jadikanlah undi untuk kemenangan PRK ini sebagai mesej menolak mereka yang seringkali berpolitik dengan menggunakan sentimen 3R – Religon, Race, Royalty (agama, bangsa, institusi Raja),” katanya lagi.
Selepas 14 hari tempoh berkempen yang berakhir bakal berakhir tengah malam ini, seramai 206,073 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok. – UMNO Online