UMNO Beri Komitmen, Anjur Kongres Ekonomi Bumiputera – MKT
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiul Akhir 1445H telah mengadakan perbincangan dan membuat beberapa ketetapan seperti berikut:
1. UMNO menyanjung tinggi komitmen YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera pada bulan Januari 2024, sekaligus membuktikan keseriusan Kerajaan untuk terus memperkasakan lagi agenda ekonomi Melayu-Bumiputera.
2. UMNO juga ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas kepercayaan dan keyakinan memberikan amanah besar kepada YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO untuk mempengerusikan Kongres Ekonomi Bumiputera yang amat penting ini.
3. Sesungguhnya Kongres Ekonomi Bumiputera merupakan cetusan awal UMNO pada tahun 1965 yang bukan sahaja telah menggagaskan pelbagai strategi dan inisiatif penting menggerakkan agenda Melayu-Bumiputera bahkan melahirkan pelbagai institusi bermakna buat orang Melayu-Bumiputera termasuk MARA, UDA, FELDA, RISDA dan FELCRA.
4. Mendepani cabaran zaman untuk tempoh 30 tahun mendatang, pastinya agenda Bumiputera perlu diberikan wajah dan semangat baharu dengan pelbagai perencanaan yang lebih strategik dan berkesan untuk memperkasakan lagi ekonomi Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
5. Bagi mendokong penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera ini, Mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan UMNO untuk menganjurkan Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera dengan menggembleng kepimpinan UMNO semua peringkat di seluruh negara.
6. Segala dapatan, maklum balas dan sumbang saran yang diperolehi melalui kolokium ini akan diangkat kepada Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal dianjurkan kelak.
7.Mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad bin Said selaku Pengarah Jentera Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman.
DR. ASYRAF WAJDI BIN DUSUKI
20 OKTOBER 2023