UiTM Tak Harus Jadi Isu, Wujud Demi Perjuangan Bangsa dan Kemajuan Negara – Tengku Hafiz
PUTRAJAYA, 24 Mei – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan menegaskan bahawa UiTM tidak seharusnya menjadi isu dalam apa-apa perkara malah tuduhan ia sebagai akademi apartheid adalah sesuatu yang melampau.
Dalam hal ini beliau membidas pihak yang mengusik institusi terbabit dengan dakwanya sebagai cubaan serkap jarang demi kepentingan tertentu sedangkan institusi tersebut diwujudkan adalah untuk perjuangan bangsa dan kemajuan negara.
“Ini bukanlah perkara yang boleh dibiarkan begitu sahaja kerana UiTM adalah institusi yang diwujudkan bagi menyokong pembelajaran anak bangsa Melayu dan Bumiputera agar tidak ketinggalan, sama-sama mampu bersaing dan menjadi warga bertanggungjawab.
“Hal ini timbul akibat gagal menghayati sejarah dan memahami perjuangan tanah air yang akhirnya pelbagai perkara mahu dijadikan isu walhal UiTM berkembang bersama-sama kemajuan negara.
“Walaupun ia bersandarkan kepada penyertaan bangsa Melayu dan bumiputera namun pembelajarannya bukanlah menjurus kepada perkauman sebaliknya ada penekanan kepada nilai akhlak, moral dan kebersamaan memajukan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya juga menyokong kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh semalam yang mahukan portal Malaysiakini untuk menurunkan artikel ini dan menggesa penulis kolumnya, Andrew Sia untuk memohon maaf dengan segera.
“Ini adalah soal berkait dengan keharmonian dan kestabilan negara. Tindakan membiarkan isu yang boleh mengundang kepada kebencian dan perkauman adalah amat merbahaya.
“Adalah amat wajar jika tindakan tegas juga dibuat kepada penulis dan penerbit artikel ini kerana kandungannya yang mempunyai cetusan provokasi dan mengundang kepada perbalahan antara kaum dalam masyarakat.”
Ujar Tengku Muhammed Hafiz, tindakan juga mesti dibuat kerana hal berkaitan UiTM ini bukanlah pertama kali diangkat malah sebelum ini pernah juga menjadi bahan polemik dalam masyarakat.
“Apa yang penting adalah pelaksanaan dalam usaha untuk membanteras dan membendung tindakan berbaur perkauman dibuat dengan tegas dan menjadi tauladan kepada masyarakat bahawa legasi berkaitan agama dan bangsa adalah antara terkandung dalam isu 3R (raja, agama, kaum).
“Jika rakyat pelbagai kaum juga tahu tentang nilai sejarah maka perkara ini tidak akan berlaku apatah lagi Canselor UiTM adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka junjunglah titah Baginda,” tegasnya lagi. – UMNO Online