Rencana

Mesyuarat Bahagian UMNO Manifestasi Keteguhan Perjuangan

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Pelaksanaan Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya ini adalah manifestasi kepada keteguhan sebuah perjuangan biarpun dalam keadaan mendepani pelbagai persekitaran yang mencabar.

Sungguh, perjalanan UMNO Bahagian Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lalu bukanlah mudah tetapi apa yang pasti gerak kerja dan pelaksanaan khidmat bakti untuk rakyat khususnya anggota parti tidak pernah terhenti. Ini kerana UMNO tak banyak alasan, bekerja dengan tulus tanpa mengharap imbalan dan berbakti dalam tekad untuk memperteguh agama Islam, memperkuat bangsa Melayu dan mendaulatkan tanah air tercinta.

Dalam usia UMNO melepasi tujuh dasawarsa iaitu 78 tahun, nilailah kembali perjalanan yang telah dilalui, susur semula kisah semalam dengan menghargai apa yang dinikmati hari ini.

Fakta sejarah tidak boleh dipadamkan iaitu UMNO adalah satu aspirasi perjuangan yang melangkau masa, dari satu lapisan generasi diwariskan kepada generasi seterusnya, perjuangan sentiasa relevan waima pemimpin silih berganti namun keupayaan menerapkan jati diri dengan pasak kukuh agama, bangsa dan negara adalah menifestasi unggul yang tiada tolok bandingnya.

Melihat Putrajaya sebagai sebuah bandar moden dan hebat juga adalah antara perjuangan UMNO yang melangkau masa, transformasi dari sebuah kawasan ladang kepada modenisasi ternama di persada antarabangsa. Itulah kisah kejayaan disuatu ketika pada era pentadbiran UMNO bersama Barisan Nasional.

Kini kita berpijak di bumi nyata, mendepani realiti semasa dan mengakui bahawa perancangan Ilahi tiada terbanding dengan kemampuan manusiawi. Kuasa yang dinikmati perlu sentiasa disyukuri tanpa alpa dan saling menuding jari kerana natijah salah pilih akan memberi musibah yang perit kepada rakyat secara holistik.

Benar, UMNO/Barisan Nasional telah merancang dan melaksana sebuah kemajuan negara bangsa berdekad-dekad lamanya namun ekoran fitnah, adu domba dan ketaksuban segelintir pihak maka kita berada dalam suasana politik hari ini.

Sememangnya, setelah kita melalui krisis demi krisis dalam politik, ekonomi dan kesihatan semasa maka disedari bahawa ramai mengakui sesungguhnya UMNO/Barisan Nasional adalah pentadbir terbaik dalam perbandingan beberapa pihak yang telah menjadi teraju negara.

Namun begitu, apa guna perakuan jika tidak diaplikasi dengan pelaksanaan. Fokus pada matlamat adalah keutamaan iaitu politik adalah berarah kepada angka dalam pilihan raya. Untuk mendepani pilihan raya akan datang maka perlulah bekerja dari sekarang. UMNO adalah landasan perjuangan dan kemenangan dalam pilihan raya terpikul pada pundak anggota parti.

Justeru, menerusi ruang persidangan ini marilah kita kembali semarakkan tekad bagi menggempur khalayak dengan mengaplikasi kebersamaan dalam UMNO iaitu satu-satunya parti politik yang tulen memperjuangkan cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara – dulu, kita dan selamanya dengan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat – insyaAllah!

Selamat bersidang

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR

Ketua UMNO Bahagian Putrajaya