Berita

Kalau Nak UMNO Terus Dominan, Bangkitlah Pastikan Hak Agama, Bangsa, Negara Terjaga – Tengku Adnan

SELAYANG, 14 Julai – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa jika mahukan parti ini terus dominan maka bangkitlah dengan matlamat pastikan hal agama, bangsa dan negara terjaga.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, hari ini ahli-ahli UMNO perlu berpijak di bumi nyata dan menerima realiti semasa.

“Kalau nak UMNO terus dominan, bangkitlah pastikan anak bangsa, agama dan negara terbela. Kita perlu berpijak pada realiti dan jangan sibuk asyik bercakap atau berpolitik dan beretorik tapi yang penting ialah khidmat kepada rakyat.

“Politik yang bermakna adalah menang dalam pilihan raya maka sekarang adalah masa bekerja. Dengan ahli yang ada, bertindak bijaklah, berpakatlah dengan rakan politik dan lakukan gerak kerja raih kembali sokongan rakyat.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa merasmikan UMNO Bahagian Selayang, di sini, hari ini.

Ujar Tengku Adnan, ahli-ahli UMNO tidak boleh bergerak atau melaksanakan gerak kerja dalam kalangan anggota parti sahaja sebaliknya perlu meliputi rakyat keseluruhan.

“Ini kerana UMNO bukan hanya untuk parti sendiri tapi demi seluruh rakyat. Tolong jangan jadi orang UMNO yang hanya jaga orang UMNO sahaja. Dulu sewaktu UMNO/Barisan Nasional (BN) berkuasa kita menjaga seluruh rakyat Malaysia kerana perjuangan kita adalah atas kesatuan dalam kepelbagaian.

“Prinsip UMNO dari dulu adalah bersatu dalam kepelbagaian. Sebab itulah dulu waktu kita nak merdeka kita bersama MCA dan MIC dan membentuk kebersamaan, maka kini kita juga perlu bersama rakan-rakan politik untuk meraih kembali sokongan pengundi.”

Ujarnya yang berucap di hadapan lebih 400 perwakilan UMNO Bahagian Selayang, anggota bahagian terbabit perlu tahu apa yang yang mahu dilaksana.

“Berdasarkan data, ahli-ahli UMNO Bahagian Selayang hanya ada 16,909 ahli sedangkan pengundi di Parlimen ini ada 180,000 orang.

“Maka saya minta, kalau boleh semua ahli UMNO yang ada dalam bahagian ini periksa dan mulakan, bincang dengan rakan politik dan bergeraklah bersama iaitu bagaimana nak wujudkan atau nak tarik sokongan dari pengundi yang ada dalam bahagian ini. Bekerja dalam kumpulan dan berkhidmat untuk rakyat kerana rakyat yang akan menentukan dan membuat penilaian berdasarkan apa yang telah kita lakukan.

“Kita bermain dengan angka dan dari situ kita laksanakan gerak kerja. Kenal pasti permasalahan dan bagaimana nak bergerak, perlu realistik dan jangan buang masa untuk hal-hal yang tak mendatangkan faedah,” katanya lagi.

Turut hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Selayang merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican; Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, Abd. Aziz Hanipi; Naib Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Khairul Walid Mohamed; Ahli Parlimen Selayang merangkap Ketua Cabang PKR Selayang, William Leong Jee Keen; Pengerusi MCA Bahagian Selayang, Chan Wun Hoong dan Pengerusi MIC Bahagian Selayang N. Sivanyanam. – UMNO Online