Pertahan Institusi Presiden, Jangan Terikut Rentak Lawan Lemahkan UMNO – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 19 Julai – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ahli-ahli UMNO agar terus memperkukuh tekad untuk mempertahankan institusi Presiden dalam menghadapi cabaran politik semasa yang semakin mencabar.
“Dalam keadaan politik yang serba tidak menentu ini, UMNO tak boleh terpengaruh dengan serangan luar yang cuba melemahkan Presiden parti kita,” katanya.
Menurutnya, taktik untuk memburukkan Presiden UMNO bukanlah perkara baharu, dengan contoh jelas melibatkan bekas pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd Najib Razak.
“Dulu waktu Tun Mahathir, apa yang tak dikata… mahafiraun, mahazalim, kemudian Pak Lah dan begitu juga Datuk Seri Najib. Sekarang giliran Datuk Seri Zahid pula,” jelas Tengku Adnan.
Beliau turut mempersoalkan berkaitan kritikan terhadap Presiden UMNO hinggakan diminta meletak jawatan.
“Kenapa nak suruh dia turun sedangkan itu adalah cara pihak luar nak lemahkan parti kita. Kita tak boleh terikut-ikut cara itu.
“UMNO tak macam itu. Kita mesti pertahankan institusi Presiden kerana pihak lawan yang cuba nak melemahkan UMNO adalah dengan memburukkan Presiden parti kita,” tambahnya.
Beliau menyatakan bahawa kini saatnya untuk melihat keadaan dengan penuh kematangan dan bukannya menuduh tanpa bukti yang kukuh sedangkan Presiden yang juga Timbalan Perdana Menteri bersama kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Fikirkan apa yang sekarang ini berlaku. Apa salah Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid? Kenapa nak suruh dia turun sedangkan itu adalah cara pihak luar nak lemahkan parti kita.
“Memang ada pihak yang sedang adu domba kita, tapi kita sendiri perlu tahu dan pastikan bahawa sokongan kepada UMNO tidak berbelah bahagi.”
Tengku Adnan juga menjelaskan bahawa kesatuan UMNO adalah asas kepada kekuatan dalam menangani cabaran dari dalam dan luar.
“Kita perlu bersatu sebagai sebuah parti untuk menghadapi segala bentuk gangguan yang cuba memecah belahkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Selayang baru-baru ini.
Di samping itu, Tengku Adnan mengajak ahli-ahli UMNO untuk kembali kepada penghayatan perjuangan parti dan mengukuhkan lagi sokongan dari peringkat akar umbi.
“Sekarang waktu sedang berjalan, masa untuk kita bekerja, berkhidmat, turun padang dan santuni rakyat untuk raih kembali sokongan para pengundi agar kembali bersama kita.”
“Tariklah ahli-ahli dalam bahagian untuk memperkuatkan lagi kehadiran UMNO di semua peringkat,” serunya.
Tengku Adnan juga meminta semua pihak untuk memainkan politik dengan betul, serta menyokong usaha kerajaan demi kepentingan negara.
“Malaysia adalah satu-satunya negara yang tidak rasis, model multi bangsa dan multi agama, multi budaya. Kita harus menjaga keharmonian ini,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya mengingatkan semua pihak bahawa perjuangan UMNO bukanlah semata-mata untuk kejayaan politik parti semata-mata, tetapi juga untuk kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia.
“UMNO berjuang untuk keharmonian dan kemakmuran semua lapisan masyarakat,” jelasnya lagi. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.