Berita

Pulihkan Kekuatan UMNO, Tolak Dakwaan Pesongkan Perjuangan Parti – Tengku Adnan

KOTA BHARU, 21 Julai – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menggesa perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu untuk menjadi pencetus perubahan di Negeri Kelantan.

Beliau menekankan bahawa dengan keanggotaan seramai 13,736 orang, UMNO Bahagian Kota Bharu harus memainkan peranan penting dalam memulihkan kekuatan parti di negeri ini lantas menolak pihak yang sentiasa memburukkan parti.

“Saya harap para perwakilan di Kota Bharu ini memainkan peranan, ketua-ketua Cawangan dan lain-lain maka bangkitlah, pergi dan selesaikan permasalahan dengan menolak dakwaan terhadap pihak yang telah memesongkan perjuangan kita dengan menggunakan agama.

“Tugas utama bangsa Melayu di Kota Bharu ini adalah memastikan akidah tidak dipesongkan, kerana kalau kita tidak melaksanakannya maka kita akan dipertanggungjawabkan. Kita berjuang dalam UMNO adalah berteraskan agama Islam dan dalam Perlembagaan UMNO adalah jelas tenyang ini maka sanggupkah kita dengar dakwaan bahawa pilih UMNO akan masuk neraka?

“Ini kerana mereka tak boleh lihat dan terima bahawa negara kita adalah masyarakat majmuk. UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) telah mentadbir negara selama lebih 60 tahun, maka sanggupkah kita semua menerima dakwaan yang tidak benar berkaitan parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Kota Bharu, di Dewan UMNO Kelantan di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya menegaskan bahawa mesyuarat bahagian adalah asas kepada ahli-ahli UMNO yang telah berjuang selama berpuluh-puluh tahun untuk membela rakyat.

“UMNO ditubuhkan untuk bantu masyarakat, bukan untuk peribadi dan orang perseorangan. UMNO ini adalah pertubuhan siasah dan yang jadikan UMNO ini punah ranah adalah barangkali kerana ada hasrat, citarasa dan keperluan-keperluan tertentu sehinggakan lupa tentang dasar untuk apa tujuan kita berada di sini.

“Kita jangan lupa bahawa UMNO telah lahirkan 10 pemimpin negara, 10 Perdana Menteri Malaysia asalnya adalah dari perut UMNO tapi kenapa kita kecundang dan tak boleh jadi parti yang mendahului kerajaan hari ini?

“Sedarlah bahawa dulu kita menjadi teraju kepada kerajaan tapi sekarang kita penumpang kerana mungkin ahli-ahli UMNO tidak sedar, terlupa, tersilap hinggakan kita kecundang dan menjadi seperti hari ini.

Beliau juga menyoroti sumbangan besar UMNO dan BN kepada negara termasuk rakyat di Kelantan sekalipun tidak sealiran dengan kerajaan Pusat ketika itu.

“UMNO bantu semua orang Melayu tanpa lihat kepada ideologi, bantuan meliputi pelbagai perkara, kita bina universiti, sekolah, dan hospital, semua UMNO/BN bantu tak kira apa aliran parti malah bangsa-bangsa lain pun dapat manfaat kerana kita jaga seluruh rakyat Malaysia,”

Dalam hal ini beliau mengingatkan agar anggota parti melaksanakan perjuangan dengan ikhlas dan bukan untuk kepentingan peribadi.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Bakri Yusoff selaku wakil pemerhati Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin; Naib Ketua bahagian, Datuk Seri Rosmadi Ismal serta barisan kepimpinan bahagian Kota Bharu dan para perwakilan bahagian terbabit. – UMNO Online