Berita

Jangan Sombong, Jangan Lupa Nilai Perjuangan UMNO Bina Negara – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 22 Julai – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ahli-ahli UMNO agar jangan sombong dan lupa dengan matlamat perjuangan parti iaitu berteraskan kepada kepentingan masyarakat demi agama, bangsa dan negara.

Ini kerana katanya, keutamaan dalam perjuangan adalah memahami bahawa UMNO adalah wadah bagi berkhidmat kepada rakyat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.
“Kita mesti tahu peranan dan matlamat kita dalam perjuangan, apa yang kita nak lakukan dalam satu pertubuhan siasah ini.

“UMNO adalah wadah perjuangan, kita bersama dalam UMNO ini bukanlah untuk diri kita sendiri tapi untuk masyarakat, untuk agama, bangsa dan negara. Kita memiliki Perlembagaan dan dalamnya adalah jelas dinyatakan asas dan tujuannya,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian terbabit yang berlangsung di Pusat Kejiranan Presint 9, pada Sabtu.

Jelas Tengku Adnan, UMNO telah menghadapi ranjau-ranjau yang berliku sejak dari awal penubuhannya hinggalah ke hari ini.

“UMNO merupakan sebuah parti yang mengikut landasan dan lunas undang-undang tapi kita sedia maklum bahawa UMNO telah melalui pelbagai cabaran, dicabar dan di bawa ke mahkamah tapi kemudian bangkit kembali.

“Sejarah dan perjuangan UMNO perlu kita ketahui. Apa yang ada di hadapan kita sekarang bukan tiba-tiba terbangun. Bukan tiba-tiba ada sekolah cantik, jalan raya cantik dan bukan tiba-tiba ada Putrajaya.

“Yang bangunkan Putrajaya ini adalah UMNO, maka hari ini jangan lupa. Jangan kerana dah senang hari ini maka nak tolak UMNO… bila dah senang dah jadi sombong hingga lupa apa yang kita dapat sekarang ini adalah hasil daripada perjuangan UMNO.”

Tegas beliau, kegigihan pemimpin-peminpin dari UMNO mempunyai perancangan dan kaedah bagi memastikan permasalahan yang berlaku di Ibu Kota Kuala Lumpur ketika itu ada penyelesaiannya.

“Pelbagai masalah di Ibu Kota khususnya masalah kesesakan maka dilaksanakan kaedah dengan pemikiran, perancangan dan pelaksanaan yang tersusun sehinggalah wujudnya Putrajaya sebagaimana hari ini. Ini bukan tiba-tiba dibangunkan.”

Ujar beliau lagi, segala apa yang dimiliki perlu dipertahankan sebagaimana perjuangan UMNO yang mesti juga diaplkasi kepada masyarakat.

“Ingatkan kembali bahawa UMNOlah yang bangunkan Putrajaya, parti ini merancang dan laksana kaedah terbaik untuk rakyat namun persoalannya kenapa UMNO tewas?
“Jangan nak tuding jari kerana barangkali ini adalah kesilapan kita sendiri maka ayuhlah kita perbaiki.

“Cukuplah apa yang dah kita lalui maka marilah kembali hayati asas perjuangan UMNO dan berkhidmat untuk rakyat dengan ikhlas.”

Kata Tengku Adnan, dengan lebih enam ribu keahlian di Putrajaya maka gerak kerja perlu dilaksana bagi kembali meraih sokongan pengundi di sini yang seramai 45,730 pengundi.

“Bermula hari ini, kita mesti cari jalan untuk permudahkan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya. Kita perlu betul-betul bertekad untuk capai kemenangan dalam PRU ke-16.

“Apa yang penting adalah jujur dan ikhlas untuk memperjuangkan nasib kita, demi UMNO/Barisan Nasional. Buang sikap melepas batok di tangga. Kalau nak berjaya bersungguh-sungguh maka perlu sentiasa buat kerja, perlu jujur dan melaksanakan kerja. Ambillah tekad agar jujur dan ikhlaskan diri pada parti,” katanya lagi. – UMNO Online