Berita

PRK Nenggiri: Pemuda UMNO Komited Laksana Gerak Kerja Raih Kemenangan BN

GUA MUSANG, 26 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO siap siaga melaksanakan gerak kerja secara holistik bagi memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan yakin dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh jentera Pemuda BN malah percaya akan dapat mengembalikan kawasan DUN Nenggiri kepada BN.

Katanya, perancangan telah dibuat apatah lagi untuk gerakan sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan calon BN yang diwakili Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang.

“Insya-Allah, calon BN akan mendapat sokongan pengundi dalam DUN Nenggiri seterusnya diterjemahkan dalam bentuk kejayaan pada PRK ini,” katanya.

Tengku Mohammed Hafiz yang juga Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, memaklumkan telah mengadakan perjumpaan dan penyelarasan kumpulan antara ‘War Room’ Pemuda UMNO Malaysia bersama Ketua-Ketua Pemuda PDM dan Pemuda UMNO Bahagian untuk persediaan menghadapi PRK DUN Nenggiri.

Turut hadir dalam mesyuarat yang berlangsung semalam, Mohd Azmawi Fikri yang komited menggalas amanah parti.

Mohd Azmawi Fikri, 38, merupakan calon muda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah menerima pelbagai anugerah termasuk muncul johan Anugerah Belia Perdana pada 2022.

Selain itu, Mohd Azmawi Fikri turut komited dalam kegiatan belia serta sukarelawan melalui beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

SPR menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari pengundian. – UMNO Online