Berita

UMNO Kutuk Sekeras-Kerasnya Pembunuhan Ismail Haniyeh

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan yang dilakukan oleh zionis Israel ke atas bekas Perdana Menteri dan pejuang kebebasan Palestin, Ismail Haniyeh.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembunuhan tersebut membuktikan kebaculan zionis Israel dikala proses perbincangan mengenai gencatan senjata sedang berlaku di Gaza.

“Mesyuarat mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan secara kejam ke atas bekas Perdana Menteri dan pejuang pembebasan Palestin, As-Syahid Ismail Haniyeh di Tehran.

“Pembunuhan pimpinan tertinggi Hamas yang memainkan peranan utama dalam usaha genjatan senjata demi keamanan di Gaza ini, membuktikan kebaculan dan kegilaan zionis Israel yang berterusan melakukan genosid ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.

Tegasnya, UMNO bertekad untuk terus mendukung perjuangan pembebasan Palestin dan akan menuntut keadilan di pentas antarabangsa melalu wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO bertekad untuk terus mendokong perjuangan pembebasan Palestin. Kami sentiasa bersama dengan saudara kami di kalangan Hamas, Fattah dan seluruh rakyat Palestin yang sekian lama ditindas serta dirampas hak mereka oleh zionis Israel.

“UMNO melalui wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia akan terus memperjuangkan hak dan menuntut keadilan di pentas antarabangsa agar kekejaman serta sifat kebinatangan Israel dihukum sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia termasuklah negara-negara yang ikhlas cintakan keamanan dan keadilan,” katanya lagi.

Pada Rabu media antarabangsa melaporkan ketua politik pasukan pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan dibunuh di ibu negara Iran, Tehran..

Pimpinan Hamas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan mengesahkan Haniyeh dibunuh dalam satu serangan rejim Zionis di kediaman beliau di Tehran.

Sementara itu, Al Jazeera melaporkan pengawal Revolusi Iran memaklumkan, Haniyeh terbunuh bersama seorang pengawal peribadinya. – UMNO Online