Berita

Minta Ahmad Zahid Dicutikan: Cukup-cukuplah Pas Sibuk ‘Rumahtangga’ Orang – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Ujar beliau, Pas sewajarnya tidak sibuk menjaga ‘rumahtangga’ orang sebaliknya lebih bertumpu kepada parti mereka sendiri.

“Cukup-cukuplah Pas… jangan sibuk dengan ‘rumahtangga’ orang… jangan nak memberi cadangan pada UMNO kerana sewajarnya lebih baik jika menjaga ‘rumahtangga’ sendiri. Lebih baik memberikan nasihat untuk partinya daripada nak suruh itu ini kepada pemimpin UMNO,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Terang Tengku Adnan, Presiden UMNO tahu apa yang hendak dilakukan dan ahli-ahli UMNO juga tahu apa yang pemimpin parti sendiri patut buat.

“Untuk Pas, lebih baik untuk mereka menilai kepimpinannya, jangan gunakan politik kepartian dan melabel parti lain syurga neraka atau dengan macam-macam gelaran termasuk dajal sekalipun.

“Kita berpolitik biarlah berintegriti. Sekarang masa bekerja jadi biarkan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri melaksanakan tanggungjawabnya kepada negara sementara Pas janganlah lebih sudu dari kuah pula.”

Ujarnya, apabila Ahmad Zahid berkata sedia disiasat maka jangan pula Pas hendak menangguk di air keruh atau hendak menjadi hero yang bersuara sedangkan apa yang dibayangkan sebenarnya adalah atas lunas undang-undang kerana negara ini mempunyai keluhuran Perlembagaan.

“Nasihat saya untuk Pas… cukup-cukuplah bersandiwara politik. Jujurlah dengan diri sendiri dan gunakanlah nasihat yang baik-baik itu untuk anggota partinya kerana dalam Pas pun ada juga pemimpinnya yang sedang disiasat dan berdepan pendakwaan di mahkamah.

“Sebenarnya sebelum mengata orang baik cermin diri sendiri… daripada minta Datuk Seri Zahid yang bercuti mengapa tak suruh MB Perlis dan MB Kedah sahaja yang berbuat demikian? Jadi cukup-cukuplah Pas…,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Armada Bersatu pada 30 Ogos lalu telah membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid dengan mendakwa terdapat unsur tipu helah atau memperdaya Yang di-Pertuan Agong ketika mengemukakan SD bagi membentuk Kerajaan Persekutuan pada November 2022.

Susulan itu pada 2 Sept Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan Ahmad Zahid perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai. – UMNO Online