Berita

Syed Hussien Calon BN PRK Mahkota, UMNO Putrajaya Turut Hadir Tanda Sokongan

PUTRAJAYA – Syed Hussien Syed Abdullah, 40, diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Mahkota oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN yang berlangsung pada Sabtu.

UMNO Bahagian Putrajaya yang turut sama hadir dalam majlis tersebut dengan diwakili oleh Ketua Penerangannya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Syed Hussien, 40, yang diumumkan sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berkata selaku orang parti, beliau mahu meneruskan apa sahaja yang dibuat Allahyarham di kawasan itu.

Syed Hussein memiliki kelulusan dalam bidang perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta berpengalaman lebih 10 tahun berkhidmat bersama UMNO.
Ahli Majlis Perbandaran Kluang (Zon Seri Impian) itu juga pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda Cawangan Kampung Palembang Lama antara 2013 sehingga 2022.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Pada PRN Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH), selepas menang dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September ini.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Dari segi komposisi kaum, DUN Mahkota terdiri 56 peratus pengundi Melayu, diikuti 34 peratus pengundi Cina, India, (lapan peratus) dan lain-lain (dua peratus). – UMNOPutrajaya