Berita

Semua Pihak Perlu Hormat Isu Berkaitan Agama – Tengku Muhammed Hafiz

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan menggesa supaya semua pihak menunjukkan rasa hormat terhadap isu-isu berkaitan agama, terutamanya yang melibatkan keperluan masyarakat Islam seperti sijil halal.

Katanya yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, sikap saling memahami dan toleransi amat penting bagi memastikan perpaduan negara terus kukuh dan perbezaan pendapat perlu disuarakan dengan bijaksana iaitu dalam kerangka yang tidak mencetuskan perpecahan, sesuai dengan semangat Malaysia sebagai negara yang harmoni dan bersatu.

“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, sensitiviti terhadap kepercayaan serta amalan agama perlu dijaga oleh semua pihak. Tindakan dan kenyataan yang tidak menghormati amalan ini bukan sahaja boleh menimbulkan ketegangan tetapi juga menghakis keharmonian yang telah lama terjalin.

“Keengganan mematuhi nasihat Perdana Menteri dalam hal ini dilihat sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh merosakkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan berikutan isu halal.

Jelas Tengku Muhammed Hafiz, Perdana Menteri telah menasihatkan agar semua pihak, terutama ahli politik, lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat.

“Malangnya, masih terdapat kenyataan yang tidak sensitif terhadap sentimen agama, yang merupakan isu penting bagi masyarakat Islam di Malaysia. Umum mengetahui perkara ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

“Rakyat seperti tidak percaya bagaimana negara kita yang telah merdeka 67 tahun masih mempunyai seorang ahli parlimen yang dangkal seperti ini,” katanya lagi.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memberi amaran agar cadangan mewajibkan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan di negara ini tidak dipersoalkan secara terbuka kerana tindakan sedemikian hanya akan ‘merosakkan’ kestabilan dan keharmonian negara.

Ujarnya, sentimen setiap masyarakat perlu dijaga dan sewajarnya setiap pandangan berkaitannya dibawa untuk diperbincangkan supaya ia dapat diteliti. – UMNO Online