Berita

MKT UMNO Zahir Penghargaan Pada Pengundi, Perkukuh Parti

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada 7 Oktober 2024 bersamaan 4 Rabiulakhir 1446H telah mengadakan perbincangan dan memperincikan beberapa isu sebagaimana berikut:

1. UMNO mengucapkan penghargaan kepada pengundi DUN Mahkota atas kepercayaan yang diberikan kepada Barisan Nasional untuk memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang amat besar dalam Pilihan Raya Kecil baru berlalu.

2. UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan Malaysia termasuk rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional, Friends of BN dan Pakatan Harapan yang bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota.

3. Mesyuarat menegaskan bahawa kemenangan ini tidak harus menjadikan UMNO angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah.

4. Kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum.

5. Mesyuarat bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja bersama di kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

6. Ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi UMNO sejak dahulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang.

DR ASYRAF WAJDI BIN DUSUKI
7 OKTOBER 2024

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.