Berita

UMNO Putrajaya Tak Banyak Alasan, Inisiatif Bersama Rakyat Tetap Dilaksana

PUTRAJAYA, 14 Okt – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan, memaklumkan bahawa inisiatif bagi mendekati rakyat dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan perhatian tidak pernah terhenti sebagaimana menjadi aspirasi parti.

Ujarnya yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, biarpun kerusi Parlimen Putrajaya bukan lagi milik UMNO/Barisan Nasional (BN) tetapi itu bukan alasan untuk memastikan perjuangan terus bersemarak.

Justeru, anggota Penerangan UMNO Putrajaya dengan kerjasama Biro Kebajikan Putrajaya telah melaksanakan inisiatif sumbangan kepada penduduk di Fasa 5 dan 6 Presint 9 di sini, semalam.

“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendekati dan membantu masyarakat di kawasan tersebut.

“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Sumbangan ini bukan hanya sekadar satu acara, tetapi merupakan simbol komitmen kami terhadap kesejahteraan penduduk Putrajaya. Ia menunjukkan bahawa UMNO sentiasa ada untuk rakyat, tanpa mengira situasi politik yang berlaku,” ujarnya kepada UMNO Online.

Beliau menegaskan bahawa UMNO Bahagian Putrajaya sentiasa berdamping dengan rakyat tidak kira sama ada ketika BN menjadi kerajaan, bergelar pembangkang, semi-kerajaan, dan kini kembali menjadi pembangkang di Parlimen Putrajaya.

“Usaha kami adalah realiti berterusan yang dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan, meskipun kerajaan telah berubah dan pemimpin UMNO bukan lagi Ahli Parlimen di sini, namun kita ‘tak banyak alasan’ untuk membantu rakyat.

“Kami percaya bahawa tanggungjawab kepada rakyat tidak seharusnya terhad kepada masa tertentu atau posisi politik yang dipegang,” tambahnya.

Dalam kesempatan terbabit, beliau merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha UMNO dan sama-sama melancarkan gerak kerja demi rakyat.

“Kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang memerlukan. Sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk individu perseorangan adalah kunci kejayaan kebersamaan dalam parti.”

Beliau juga menyentuh mengenai pendekatan yang diambil oleh UMNO yang melaksanakan gerak kerja tanpa banyak alasan.

“Sedangkan Ahli Parlimen Putrajaya kini lebih banyak menggunakan alasan politik untuk berdamping dengan rakyat, kononnya sebab bukan menteri, bukan dari kerajaan pusat, dan sebagainya namun kami percaya bahawa tindakan lebih penting daripada kata-kata.

“Tindakan kami menunjukkan bahawa kami komited untuk membantu walau dalam apa jua keadaan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.