Berita

Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasya Bermula

KUANTAN – Istiadat Perkahwinan Putera Diraja YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan YM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada esok, Selasa 22 Oktober 2024 di pekarangan Istana Abdulaziz di sini.

Sebanyak 16 das tembakan meriam akan dilepaskan esok yang dimulakan dengan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja dan menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja.

Sebaik sahaja tembakan meriam dilepaskan kira-kira pukul 9.30 pagi bacaan doa diteruskan bagi menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja.

Pada pukul 6.30 petang pula, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dijadualkan berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1 di sini.

Pasangan Pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Oktober 2024 di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada pukul 8.00 malam.

Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Oktober 2024 dan Istiadat Persandingan Diraja pada 27 Oktober 2024.

Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8.00 malam.

Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan, Pahang.

Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang
dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober 2024 di Istana Abdulaziz.

Istiadat Santap Adap-Adapan bermula pada pukul 4.00 petang dengan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin.

Sebaik sahaja Istiadat Nasi Semangat dizahirkan istiadat diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Istiadat Bersiram.

Bacaan doa oleh Mufti Pahang, Sahibus Samahan Prof. Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim dilaksanakan sebelum Istiadat Bersiram dizahirkan.

Majlis Jamuan Teh pula akan bermula sebaik sahaja Pasangan Pengantin Diraja selesai Istiadat Bersiram.

Seterusnya, bagi mengakhiri semua istiadat, YAM Tengku Panglima Raja akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam dan bacaan doa oleh Mufti Pahang.

Tembakan meriam dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Pekan sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung. – KESULTANAN PAHANG