Isu Semasa

Kes Najib: Rujuk Fakta Yang Tepat – Nooryana

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Anak perempuan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa Najib menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa mendoakan dan terus menyokong mantan Perdana Menteri itu.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berkata, biarpun kecewa dengan keputusan mahkamah baru-baru ini namun percaya pada proses keadilan.

 

Ujarnya, biarpun pelbagai versi berlegar dalam media sosial berkaitan kes ayahandanya namun apa-apa pun beliau berharap agar orang ramai merujuk kepada maklumat yang sahih dan tepat.

“Rujuk kepada Facebook Najib Razak kerana di situ ada banyak penerangan dan fakta tentang perjalanan kes ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan masih menyokong Datuk Seri Najib,” ujarnya kepada UMNO Online.

Sebelum ini, pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama di cawangan AmIslamic Bank Berhad antara 14 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Jika disabitkan kesalahan, beliau berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Berikutan sabitan tersebut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah mengemukakan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, yang membawa kepada pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta. – UMNO Online