Berita

Sumbangan ‘Tak Banyak Alasan’ Inisiatif UMNO Putrajaya Demi Rakyat

PUTRAJAYA, 15 Nov – Inisiatif UMNO untuk membantu rakyat mencerminkan komitmen parti dalam memastikan kesejahteraan sosial terus dilaksana melalui pelaksanaan pelbagai gerak kerja yang memberi fokus kepada program bantuan langsung dari semasa ke semasa.

Hal ini direalitikan oleh UMNO Bahagian Putrajaya melalui sumbangan ‘Tak Banyak Alasan’ yang diteruskan oleh Penerangan bahagian terbabit dengan diketuai oleh Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan.

Ujarnya, program ini adalah manifestasi daripada perjuangan ‘dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat’ yang menjadi teras kepada parti dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

“Tidak ada alasan untuk tidak membantu mereka yang memerlukan. Kita berjuang untuk rakyat, dari rakyat, dan untuk kesejahteraan masyarakat. Ini adalah komitmen UMNO dalam memastikan tiada seorang pun tertinggal dalam perjuangan ini,” ujarnya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, terbaharu, UMNO Penerangan Putrajaya bersama Biro Kebajikannya telah menyampaikan bantuan kepada penduduk Fasa 4 Presint 9 (Blok 4B dan 4C) di sini.

“Sumbangan yang diberikan bertujuan untuk meringankan beban penduduk di kawasan tersebut, khususnya golongan yang memerlukan, dan menjadi bukti bahawa UMNO sentiasa peka dengan keperluan masyarakat.

“Program ini mencerminkan semangat ‘tak banyak alasan’ yang dipegang bahagian ini iaitu sekalipun bergelar pembangkang dan bukan menguasai kerusi Parlimen Putrajaya atau bukan berjawatan menteri namun usaha memberikan bantuan kepada rakyat tidak terhenti.

“Rakyat perlukan perhatian dan mahukan kebajikan mereka terbela sedangkan ahli Parlimen yang diharap dapat menghulur bantuan entah dimana.”

Dalam hal ini beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, atas sokongan padu dan kepimpinan beliau dalam memastikan program kebajikan ini diteruskan dengan jayanya.

“Ini adalah usaha yang berterusan, bersandarkan prinsip perjuangan yang mengutamakan rakyat. Tanpa sokongan dan komitmen sedemikian maka usaha-usaha seperti ini tidak akan dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.

Dengan sumbangan yang diberikan, beliau juga berharap ia dapat mempereratkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Putrajaya dan memberi sinar harapan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Perjuangan UMNO sentiasa mendahulukan rakyat, dan ini adalah bukti nyata bahawa parti akan terus berusaha tanpa henti dalam memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online