Jubli Emas BN: Semarakkan Semangat Perjuangan Untuk Rakyat
KUALA LUMPUR, 7 Dis – Barisan Nasional (BN) hari ini mengadakan sambutan Jubli Emas yang ke-50 yang bermula daripada awal pagi hingga berakhirnya pada sebelah petang di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL).
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN telah memainkan peranan penting dalam membentuk lanskap politik dan sosial Malaysia malah menjadi tulang belakang dalam memperjuangkan kemerdekaan serta memastikan kesejahteraan rakyat sepanjang sejarah negara.
“BN telah menggariskan dasar-dasar yang memacu negara ke arah kemajuan dan kestabilan. Walaupun menghadapi cabaran dalam politik semasa yang semakin dinamik, BN perlu terus bangkit dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman yang pesat,” ujar beliau dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, sambutan Jubli Emas ini bukan sekadar untuk mengenang kejayaan lampau, tetapi juga untuk mengukuhkan komitmen BN terhadap rakyat.
Beliau turut menegaskan pentingnya prinsip ‘dari rakyat, untuk rakyat, dan kerana rakyat’ dalam memastikan BN terus relevan, berperanan besar, dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat Malaysia.
“BN harus terus peka terhadap segala isu yang dihadapi rakyat, serta memastikan Malaysia terus berkembang maju seiring dengan peredaran zaman,” kata Tengku Adnan, yang turut mengingatkan pentingnya kesatuan dalam parti bagi mencapai kesejahteraan bersama.
Ujarnya lagi, dengan sambutan Jubli Emas ini, BN perlu terus bertekad untuk terus memainkan peranan sebagai penggerak kemajuan negara serta menjadi pemimpin yang responsif terhadap harapan dan keperluan rakyat Malaysia pada masa hadapan.
Dilaporkan, acara sambutan ini bertemakan “Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa” ini akan dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang yang akan menghimpunkan kehadiran kira-kira 5,000 orang daripada seluruh negara, termasuk pemimpin tertinggi parti, ahli komponen, dan para penyokong. – UMNO Online