Rencana

Tahun Baharu 2025: Janji Era Baharu Di Putrajaya Terus Kelam

Tahun baharu 2025 menuntut refleksi dari banyak segi, terutama dalam politik negara. Di Putrajaya, janji-janji yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih belum menjadi kenyataan. Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin, yang pernah melaungkan ‘Era Baharu Putrajaya’, kini dipersoalkan oleh rakyat kerana kegagalannya untuk menunaikan tawaran yang dibuat semasa PRU15. Dalam tempoh masa yang panjang sejak dia memenangi kerusi tersebut, Radzi dilihat lebih banyak memberikan alasan daripada tindakan nyata.

Tunda Janji: Realiti vs. Harapan

Dalam kempen PRU15, Radzi mempromosikan “Era Baharu Putrajaya” dengan 50 tawaran untuk rakyat. Namun, setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen, janji-janji tersebut semakin kabur dan tidak ada kelanjutannya. Radzi seakan-akan terlupa bahawa janji yang dibuat semasa kempen adalah harapan yang harus ditepati, bukan sekadar bahan retorik untuk meraih undi. Hari ini, rakyat Putrajaya sedar bahawa menunggu janji-janji yang tidak kunjung datang itu ibarat mengharap bulan jatuh ke riba.

Pengabaian Tanggungjawab

Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab utama adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, dan ini termasuk menyalurkan bantuan apabila diperlukan. Namun, Radzi lebih banyak mendiamkan diri, dan rakyat Putrajaya kini terpaksa mengadu kepada pusat khidmat yang diwujudkan oleh UMNO Bahagian Putrajaya waima mantan wakil rakyatnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hal ini memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab seorang insan yang diangkat sebagi pemimpin apabila lebih banyak beralasan daripada memberikan penyelesaian. Pada masa ketika rakyat menghadapi tekanan akibat kenaikan kos barang dan musim persekolahan serta perayaan yang bakal tiba, mereka memerlukan bantuan, bukannya alasan dan penangguhan lantas terus hilang tanpa menghulur bantuan.

‘Putrajaya Care’ vs. Realiti

Satu lagi janji yang gagal dilaksanakan adalah mengenai penubuhan pusat khidmat dalam talian ‘Putrajaya Care’. Walaupun kelihatan menarik pada awalnya, ia hanya memberi kesan terbatas dan tidak memberikan bantuan fizikal atau segera kepada mereka yang memerlukan. Pusat khidmat ini tidak mampu memenuhi keperluan sebenar rakyat yang berhadapan dengan masalah seperti bantuan kewangan, pendidikan, atau perubatan. Apa yang lebih mengecewakan adalah kenyataan Radzi yang menyatakan bahawa dia tidak dapat menunaikan janji-janji tersebut kerana alasan-alasan yang lebih menyalahkan kerajaan pusat, tidak ada peruntukan, atau kekurangan sokongan waima itu semua hanya alasan sedangkan amanah yang terpikul dilepas sahaja.

Rakyat Perlukan Tindakan, Bukan Penipuan

Keadaan ini menunjukkan ketidakseimbangan antara apa yang dijanjikan semasa kempen dengan realiti yang dihadapi oleh rakyat. Seharusnya, Radzi sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, tidak perlu mencari alasan atau melepaskan tangan apabila berhadapan dengan kesulitan. Rakyat sudah tidak lagi terpedaya dengan janji manis yang ditaburkan. Mereka mahukan bukti nyata dan tindakan yang konkrit.

Harapan yang Menghampakan

Masyarakat kini semakin sedar bahawa janji-janji politik daripada pemimpin parti yang diwakili Radzi hanyalah retorik untuk meraih sokongan tanpa sebarang komitmen sebenar. Dalam kes Putrajaya, ini menjadi lebih jelas apabila penduduk terpaksa bergantung pada pusat khidmat daripada pihak lain, bukan wakil mereka yang dipilih.

Pendirian Radzi yang menyatakan bahawa dia tidak mempunyai kuasa kerana tidak menjadi menteri atau memegang jawatan dalam kerajaan pusat seharusnya tidak diterima sebagai alasan.

Walaupun berada dalam kedudukan yang tidak memegang kuasa kerajaan pusat, beliau masih mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kehidupan rakyat Putrajaya berjalan lancar dan berusaha memberi manfaat sebaik mungkin.

Nasi Dah Menjadi Bubur

Apa yang berlaku kini adalah hasil dari pilihan yang dibuat dalam PRU15. Rakyat Putrajaya tidak dapat kembali ke masa lalu, dan pilihan yang telah dibuat harus diterima, meskipun berisiko menanggung akibatnya.

Namun, ini tidak bermakna mereka harus terus menerima kegagalan untuk menunaikan janji tanpa ada perubahan. Mereka harus melihat kembali tindakan dan komitmen sebenar para pemimpin mereka dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Tahun baharu 2025 adalah masa untuk pemimpin seperti Radzi dijadikan bahan penilaian untuk masa hadapan. Jika ‘Era Baharu Putrajaya’ hanya tinggal retorik tanpa tindakan, maka rakyat tentu tahu jawapan untuk PRU akan datang.

Rakyat ada kuasa pada hari pemilihan kelak, apa yang ditunggu adalah tindakan selaku kunci utama untuk merealisasikan harapan, dan bukan sekadar menunggu alasan untuk tidak bertindak.

Tepuk dada tanya selera… Selamat Tahun Baharu 2025.

Warga Putrajaya: Nay Ayyash