Siapa Sembunyikan Titah Adendum?
Sekarang muncul pula soalan siapakah yang menyembunyikan Titah Addendum dan bolehkah tindakan diambil ke atasnya.
Sebenarnya jawapan jelas kepada soalan ini sudah ada pada Titah Addendum itu sendiri. Dalam Titah tersebut, YDPA ketika itu menujukan ia kepada Peguam Negara (AG). Tiada orang lain yang terlibat
Jadi Peguam Negara dah sah-sah menerima dan memilih untuk tidak melaksanakannya. Soal sama ada PMX atau Menteri KDN atau Menteri Wilayah tahu atau tidak itu adalah soalan kedua. Soal betul atau tidak pilihan AG untuk tidak melaksanakan Titah tersebut juga adalah soalan yang lain.
Isu utama adalah dia tahu, dia terima maka dialah yang perlu disiasat terlebih dahulu. Tanpa siasatan ke atas beliau, kita tidak akan dapat mencari akar punca krisis yang melanda negara ini
Namun AG tersebut sudah pun mengakhiri perkhidmatan dan kini dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan.
Masalah timbul kerana pada 2 tahun lepas, SPRM telah menyiasat YA Hakim Nazlan iaitu hakim yang memutuskan DS Najib bersalah dalam kes SRC
Siasatan SPRM ketika itu mendapati Hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan dan melanggar kod etika kehakiman ketika mengadili kes tersebut. Jika siasatan ke atas Hakim Nazlan ini benar, maka ia bermakna hukuman penjara ke atas DS Najib juga boleh dipertikaikan
Namun Ketua Hakim Negara YAA Tengku Maimun yang mengetuai panel hakim memutuskan bahawa siasatan SPRM tidak sah kerana tidak mengikut protokol. Antaranya adalah kerana SPRM tidak berunding dengan beliau dahulu sebelum melakukan siasatan ke atas Hakim Nazlan
Jika precedent (duluan) ini diambil kira, tiada siasatan boleh dibuat kepada bekas Peguam Negara tersebut tanpa kebenaran Ketua Hakim Negara. Dan hampir mustahil kebenaran itu diperolehi memandangkan Peguam Negara tersebut kini adalah Hakim kepada mahkamah tertinggi negara.
Tanpa siasatan ke atas beliau, isu ini tidak akan selesai melainkan agakan-agakan yang mengikut kecenderungan politik sahaja.
Saya pernah menulis panjang isu ini 2 tahun lepas walaupun mendapat kecaman segelintir penyokong PH dan PN. Pandangan saya, keputusan YAA Tg Maimun sebenarnya sangat bahaya dan boleh memberi kesan buruk kepada keseimbangan kuasa antara eksekutif, legislatif dan judisiari.
Betul kita mahu sistem kehakiman bebas. Tetapi kita juga mahu sistem eksekutif bebas daripada pengaruh sistem kehakiman. Setiap sistem mesti mempunyai kebebasan supaya boleh mengimbangi antara satu sama lain.
Apabila salah satu sistem terlalu berkuasa, maka ketika itu keseimbangan akan runtuh dan muncullah kerosakan dalam kehidupan bernegara
Dari sebab itulah sejak 2 tahun lepas, saya berulang kali sebut. Kes DS Najib sebenarnya bukan hanya melibatkan masa depan DS Najib. Ia telah memasuki fasa yang boleh merobek asas kewujudan negara ini sendiri.
Dan hari ini ia telah terbukti.
—
Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu