Aktiviti & Komuniti

500 Murid Terima Sumbangan Beg Sekolah di Putrajaya

PUTRAJAYA – Seramai 500 murid sekolah rendah di sekitar Putrajaya menerima sumbangan beg sekolah dan alat tulis menerusi Program Penyerahan Sumbangan 500 Beg Sekolah – Jom Kembali ke Sekolah 2025. Program ini dianjurkan oleh Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Majlis Guru Besar Sekolah Putrajaya.

Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Pengerusi Biro terbabit, Senator Datuk Hisamudin Yahaya, yang mewakili Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, telah menyempurnakan penyerahan sumbangan dalam majlis yang berlangsung di Dataran Sekolah Kebangsaan Presint 11(1), Putrajaya. Turut hadir dalam program ini adalah para guru, ibu bapa serta murid-murid yang terpilih sebagai penerima bantuan.

Menurut Datuk Hisamudin, program ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan, khususnya dalam penyediaan kelengkapan persekolahan. Beliau menegaskan bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapatkan pendidikan yang selesa dan berkualiti tanpa sebarang halangan.

“Keputusan cemerlang tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan usaha, kesungguhan, dan semangat yang tinggi. Saya berharap murid-murid memanfaatkan bantuan yang diberikan ini sebaiknya dan menjadikannya sebagai dorongan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Puan Norzah Mohd Kassim, Guru Besar SK Presint 11(1), serta seluruh warga sekolah yang telah menjadi tuan rumah bagi program ini.

Datuk Hisamudin berharap inisiatif ini dapat menyuntik semangat kepada lebih banyak pihak untuk menanam nilai kepedulian dan kebersamaan dalam masyarakat. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.