Jom Gunting Rambut Percuma: Inisiatif UMNO Putrajaya Bantu Murid Bersiap Sedia ke Sekolah
PUTRAJAYA – Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, menerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, telah bersama-sama menyemarkkan program tradisi UMNO Putrajaya iaiatu ‘Jom Gunting Rambut Percuma’ bagi membantu murid-murid bersiap sedia menghadapi sesi persekolahan tahun 2025 dengan lebih berkeyakinan.
Program yang diadakan ini bertujuan memastikan murid-murid tampil kemas dan rapi sebelum memasuki alam persekolahan, sekali gus memberi kesan positif terhadap keyakinan diri mereka.
Menurut Datuk Mohd Hisamudin, inisiatif ini bukan sahaja memudahkan ibu bapa tetapi juga menggalakkan nilai disiplin dan kebersihan dalam kalangan murid.
“Sudah semestinya penampilan yang kemas akan memberi impak yang baik kepada keyakinan anak-anak dalam menghadapi sesi persekolahan yang baharu. Yang penting, mereka kelihatan segak dan bersedia untuk belajar,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan dan penggunting rambut yang sudi memberikan khidmat secara percuma demi manfaat murid-murid.
“Nasihat saya kepada anak-anak, pendidikan bukan hanya tentang memperoleh ilmu di dalam bilik darjah, tetapi juga berkaitan dengan disiplin, kebersihan, dan keyakinan diri. Walaupun program ini nampak kecil, impaknya besar dalam membentuk sahsiah dan semangat belajar,” tambahnya.
Program ini mendapat sambutan baik daripada ibu bapa dan murid-murid yang mengambil peluang untuk mendapatkan khidmat gunting rambut secara percuma sebelum memulakan sesi persekolahan baharu. – UMNOPutrajaya