Ihya Ramadan: UMNO Putrajaya Teruskan Tradisi Sumbangan Kepada Surau & Masjid di Putrajaya
PUTRAJAYA – Sebanyak 74 buah surau dan masjid di sekitar Parlimen Putrajaya menerima sumbangan dalam satu majlis anjuran Biro Agama UMNO Bahagian Putrajaya sempena program Ihya Ramadan.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd. Faisal Abdul Karim dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hisamuddin Yahaya.
Majlis yang berlangsung di Surau Istiqomah, Presint 18 itu menyaksikan wakil daripada kesemua surau dan masjid hadir untuk menerima sumbangan masing-masing.
Sumbangan yang disalurkan dalam bentuk wang tunai serta barangan keperluan diharapkan dapat membantu pengurusan surau dan masjid dalam melaksanakan aktiviti sepanjang bulan Ramadan.
Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban serta memudahkan urusan pihak surau dan masjid dalam melaksanakan program keagamaan sepanjang bulan yang mulia ini. – UMNOPutrajaya