Tak Banyak Alasan Imarahkan Ramadan, Tengku Adnan Teruskan Tradisi UMNO Putrajaya
PUTRAJAYA, 28 Feb – UMNO Bahagian Putrajaya meneruskan tradisi menyantuni surau dan masjid dengan menyampaikan sumbangan sempena menjelangnya bulan Ramadan.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Surau Istiqomah, Presint 18, di sini malam tadi.
Katanya, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen UMNO Bahagian Putrajaya untuk terus mengimarahkan Ramadan dan membantu institusi keagamaan dalam menyemarakkan ibadah di kalangan masyarakat.
“Alhamdulillah, kita dapat meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan kepada 74 surau dan masjid menjelang bulan puasa.
“UMNO Putrajaya meneruskan khidmat bakti demi keselesaan rakyat. UMNO adalah parti yang berteraskan akar umbi, dari rakyat untuk rakyat dan kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk program-program keagamaan dan kebajikan dengan mengimarahkan surau dan masjid sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
“Semoga kita semua dapat mengimarahkan Ramadan dengan meningkatkan ibadah kepada Allah SWT.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan sentiasa memberikan sokongan. Inilah perjuangan UMNO, dulu, kini dan selamanya, insya-Allah.”
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd. Faisal Abdul Karim; Naib, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya serta wakil-wakil surau dan masjid yang menerima sumbangan. – UMNO Online