Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan Putrajaya Meriah Bersama Komuniti
PUTRAJAYA – Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan Putrajaya berlangsung dengan meriah hari ini, menghimpunkan komuniti setempat dalam semangat kebersamaan sempena bulan Ramadan 1446H.
Acara tahunan ini dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Ketua Wanita UMNO Putrajaya, Puan Husna Abdul Rahaman. Turut hadir memeriahkan program ialah Presiden Perbadanan Putrajaya, Dato’ TPr Fadlun Bin Mak Ujud, bersama Naib-Naib Presiden, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal, serta warga kerja Perbadanan Putrajaya.
Menurut Puan Husna, program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat, malah menghidupkan tradisi gotong-royong dalam menyediakan juadah berbuka puasa. “Alhamdulillah, program ini telah menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, mengukuhkan semangat perpaduan dalam komuniti,” katanya.
Dalam suasana penuh muhibah, para peserta berganding bahu menyediakan bubur lambuk sebelum diagihkan kepada masyarakat setempat. Program ini mencerminkan semangat kebersamaan yang terus diperkukuhkan dari tahun ke tahun. – UMNOPutrajaya