MARA Anjur Program Simfoni Kasih Ramadan 2025 Di Putrajaya
PUTRAJAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Putrajaya 2023/2024 telah mengadakan program Simfoni Kasih Ramadan 2025 di Putra Harmoni P9. Program ini dianjurkan di bawah Biro Pendidikan dan Biro Ekonomi Zon dengan matlamat membantu golongan memerlukan serta memupuk nilai kemasyarakatan dalam kalangan pelajar MARA.
Melalui inisiatif ini, Giat MARA dan Yayasan Pelajaran MARA telah menyampaikan sumbangan kepada 60 orang kanak-kanak daripada keluarga B40 berusia bawah 12 tahun yang menetap di sekitar Putrajaya.
Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, program ini bukan sahaja menyantuni golongan yang memerlukan, malah turut memberi pendedahan kepada para pelajar MARA mengenai kepentingan berkongsi rezeki dan mengamalkan sikap prihatin terhadap masyarakat sekeliling.
Selain bantuan tersebut, program ini turut menyaksikan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan pelajar Giat MARA seperti gunting rambut percuma, pedicure percuma untuk kanak-kanak B40, serta penyediaan bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk Putrajaya.
Turut diadakan dalam program ini adalah pemeriksaan kesihatan percuma yang dikendalikan oleh Pusat Perubatan Stella P8. Inisiatif ini bertujuan memastikan kesejahteraan komuniti setempat di samping memperkukuhkan nilai kesedaran kesihatan dalam kalangan penduduk.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Surau Al-Hidayah Putra Harmoni atas kerjasama dalam penyediaan dewan dan logistik bagi menjayakan program ini. MARA berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat masyarakat yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Dengan kehadiran dan sokongan pelbagai pihak, MARA terus komited dalam menjalankan tanggungjawab sosial bagi membantu komuniti dan memastikan golongan yang kurang bernasib baik tidak terpinggir. – UMNOPutrajaya