Persidangan Cawangan Medan Kukuhkan Perjuangan UMNO
KUALA LUMPUR, 9 April – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan menzahirkan ucapan selamat bersidang kepada seluruh ahli UMNO di semua peringkat sempena musim persidangan cawangan yang sedang berlangsung di seluruh negara.
Dalam kenyataannya, beliau menyeru agar setiap ahli UMNO, terutamanya pergerakan sayap parti menjadikan persidangan ini sebagai satu medan terbaik untuk memperkukuhkan semangat perjuangan dengan mempereratkan ukhuwah sesama ahli demi agenda masa hadapan agama, bangsa dan tanah air.
“Selamat bersidang saya ucapkan kepada semua ahli UMNO. Marilah kita jadikan mesyuarat ini ruang terbaik bagi membincangkan masa depan dengan memperhalusi gerak kerja dan memantapkan usaha untuk hasil yang lebih baik,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, setiap ahli UMNO mempunyai nilai tambah dan memainkan peranan penting dalam kesinambungan perjuangan, apatah lagi parti sedang memperkukuh semula kekuatan dengan berteraskan keampuhan di akar umbi.
“Kita tidak boleh berjuang separuh hati. Perjuangan ini menuntut keikhlasan, kesetiaan dan kesungguhan. Jangan terlalu banyak memberi alasan, sebaliknya teruskan langkah dengan penuh iltizam dan semangat juang,” tegas beliau.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa UMNO masih mempunyai kekuatan besar yang boleh dibangkitkan sekiranya seluruh ahli bersatu hati dan kekal fokus terhadap matlamat perjuangan.
Ujarnya, persidangan cawangan UMNO yang berlangsung saban tahun merupakan platform penting untuk membincangkan halatuju parti, memperkemas organisasi di peringkat akar umbi serta menyusun gerak kerja dalam mendepani cabaran politik semasa.
“Dengan semangat kebersamaan dan iltizam tinggi daripada setiap peringkat kepimpinan serta ahli, maka UMNO akan kembali bersemarak malah akan terus kekal relevan menjadi benteng dalam mempertahankan kepentingan rakyat serta kedaulatan negara,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya. – UMNO Online