Program Latihan Asuhan, Kesihatan & Keselamatan Kanak-Kanak Bakal Dilaksanakan di Putrajaya
PUTRAJAYA – Mesyuarat Penyelarasan Kursus Bimbingan Asuhan, Kesihatan & Keselamatan Kanak-Kanak telah berlangsung hari ini di Putrajaya, melibatkan pelbagai agensi penting dalam usaha memperkasa penjagaan dan keselamatan kanak-kanak di kawasan ini.
Ketua Wanita UMNO, Husna Abdul Rahaman memaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dr. Helmi dari Unit Kesihatan Perbadanan Putrajaya ini turut disertai oleh wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kesihatan Putrajaya serta Persatuan Pengusaha Taska & Tadika Putrajaya (PUSPAJAYA).
Katanya, perbincangan melibatkan penyelarasan modul latihan, strategi pelaksanaan serta bentuk kerjasama antara agensi demi menjayakan program yang bakal menyasarkan golongan pengasuh, penjaga serta komuniti setempat.
Menurut Husna, “Insya-Allah program ini akan dilaksanakan tidak lama lagi demi melahirkan lebih ramai pengasuh yang berilmu, berkemahiran dan prihatin terhadap keselamatan serta kesejahteraan anak-anak kita.”
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Putrajaya atas keprihatinan mereka terhadap kepentingan kanak-kanak di wilayah ini.
Maklumat lanjut berkenaan program akan diumumkan dalam masa terdekat. – UMNOPutrajaya