Berita

Dr Ustaz Yusri Sah Calon BN Di PRK Ayer Kuning

TAPAH, 12 April – Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir sah menjadi calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Dr Ustaz Yusri yang segak berbaju Melayu biru menghadapi saingan tiga penjuru daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

Senarai calon bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di pusat penamaan calon di Dewan Merdeka, di sini.

Untuk rekod Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah pensyarah di IPG Kampus Ipoh pada 2007 dan berkhidmat di sana sehingga sekarang.

Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, beliau mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.