Pemergian Tun Abdullah Kehilangan Besar Buat Negara, Negarawan Berjiwa Luhur – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 14 April – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam ini merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah meninggal dunia pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Menurut Ahmad Zahid, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara dan rakyat Malaysia.
“Allahyarham pastinya akan dikenang sebagai seorang negarawan berjiwa luhur, tenang dalam kepimpinan, dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” kata beliau dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, malam ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas jasa besar Tun Abdullah dalam membentuk asas pentadbiran negara yang berteraskan integriti serta prinsip Islam Hadhari, yang dianggap akan akan terus terpahat dalam lipatan sejarah negara.
“Saya secara peribadi amat terkesan dengan pemergian beliau. Tun bukan sekadar seorang tokoh negara, tetapi juga seorang mentor dan pemimpin yang amat saya hormati.”
Mengimbau kembali perjalanan awal karier politiknya, Ahmad Zahid berkata Allahyarham Tun Abdullah banyak membuka ruang dan memberi peluang kepadanya untuk membina hala tuju sebagai seorang pemimpin.
“Bimbingan dan kepercayaan yang beliau berikan menjadi antara asas penting yang membentuk diri dan arah langkah saya hingga ke hari ini.”
Dalam pada itu, beliau dan keluarga turut merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada balu Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah serta seluruh ahli keluarga.
“Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini.”
Ahmad Zahid turut mendoakan agar Allah SWT menerima segala amal bakti Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beroleh ganjaran syurga. – UMNO Online