Isu Jalur Gemilang Tanpa Bulan: Biadap, Tidak Bermoral Perlu Tindakan Tegas
Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab akhbar Sin Chew Daily yang memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa lambang bulan – satu lambang penting yang mewakili kedudukan Agama Islam sebagai agama Persekutuan, selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia.
Meskipun permohonan maaf telah dibuat, perkara ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Sejak kecil, kita telah diajar mengenai makna dan simbolik Jalur Gemilang, termasuk warna, jalur, bintang dan bulan. Maka, ketiadaan bulan dalam paparan tersebut bukan sahaja satu penghinaan, tetapi juga satu bentuk penafian kepada asas Perlembagaan negara ini.
Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mendesak agar tindakan tegas diambil oleh pihak kerajaanmelalui Kementerian Komunikasi, termasuk kemungkinan menggantung atau mengharamkan penerbitan tersebut, kerana ini jelas menyentuh isu 3R (agama, kaum, raja) yang mampu menggugat keharmonian negara.
Sampai bila kita mahu menyukat dengan dua cupak? Tindakan pantas diambil jika ia melibatkansesetengah golongan, tetapi dibiarkan sewenang-wenangnya jika datang dari pihak tertentu? Di manakah integriti dan kesetiaan editor Sin Chew Daily terhadap kedaulatan negara?
Ini bukan isu kecil. Ini soal prinsip, ini soal maruah. Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan tegas menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap Jalur Gemilang dan menuntut tindakan segera dari pihak polis dan kementerian.
Nasrun Nasaruddin
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan
Ketua Pergerakan Pemuda