Bawa “Fatwa Presiden PAS” Ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
Tuan Guru Presiden PAS memberi signal kemenangan politik lebih utama daripada Haji dan Umrah. Justeru Haji dan umrah mesti ditangguhkan. Saya mengatakan Haji yang wajib adalah Fardhu Ain manakala pilihanraya adalah Fardhu Kifayah. Adakah Fardhu Kifayah diutamakan berbanding Fardhu Ain?
Para Fuqaha telah membincangkan hukum antara keperluan Haji dan Jihad. Ulama menegaskan ibadah Haji adalah Fardhu Ain yang bersifat segera apabila cukup syarat berdasarkan firman Allah
وَللهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
“Dan menjadi milik Allah sebagai kewajipan pada manusia menunaikan Haji ke Baitullah bagi sesiapa yang berkemampuan untuk mengerjakannya” (Surah Ali Imran: 97)
Jihad pula hukumnya Fardhu Kifayah selagi pemerintah tidak membuat seruan jihad sebagai Fardhu Ain seperti ketika negara diserang oleh musuh. Apabila bertembung antara kewajipan Haji yang bersifat Fardhu Ain dengan Jihad yang bersifat Fardhu Kifayah maka wajib diutamakan Fardhu Ain.
Penglibatan setiap individu dalam pilihanraya di Malaysia dewasa ini adalah Fardhu Kifayah bukannya Fardhu Ain. Maka apabila bertembung antara kewajipan Haji yang Fardhu Ain dengan kewajipan mengundi yang Fardhu Kifayah maka mesti diutamakan ibadah Haji yang wajib.
Melainkan jika satu ketika nanti hukum mengundi menjadi Fardhu Ain dengan maksud setiap orang wajib mengundi dan sesiapa yang tidak mengundi hukumnya adalah berdosa. Suasana itu memerlukan Fatwa oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti sebagaimana Fatwa Jihad menjadi Fardhu Ain pada ketikanya hendaklah difatwakan oleh pihak berautoriti agama.
“Fatwa” umum Tuan Guru Presiden PAS pada situasi masa ini mesti dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dinilai kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan hukum Islam dalam masyarakat semasa.
Datuk Wira Dr Khairuddin Takiri
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia
Ahad 20 April 2025