Isu Semasa

JALUR GEMILANG: APA MASALAH KPM?

Isu Jalur Gemilang belum pun reda susulan insiden membabitkan akhbar Sin Chew Daily, kini timbul pula satu lagi insiden serupa — kali ini melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Saya secara peribadi berasa amat sedih dan kecewa. Paparan Jalur Gemilang yang tidak sempurna bukan sekadar kesilapan teknikal, tetapi mencerminkan kegagalan tanggungjawab sebuah institusi sebesar KPM yang boleh menjejaskan maruah negara dan kredibiliti kerajaan secara keseluruhan.

Saya mahu pihak editorial, syarikat penerbitan mahupun mana-mana individu dalam rantaian kerja yang terlibat mesti dikenakan tindakan tegas — termasuklah disenaraihitamkan jika perlu. Saya menggesa KPM untuk menyiasat secara menyeluruh dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Walaupun dalam kepesatan teknologi dengan penggunaan AI, Kerajaan tidak boleh dilihat lemah atau sambil lewa dalam perkara melibatkan lambang kedaulatan negara. Satu kesilapan boleh mencalar keyakinan rakyat terhadap usaha Kerajaan yang jauh lebih besar.

Laporan siasatan mesti didedahkan kepada umum sebagai komitmen kepada ketelusan dan tanggungjawab awam. Ini bukan soal remeh yang boleh diselesaikan dengan permohonan maaf semata-mata.

Ini soal maruah negara. Soal integriti penjawat awam. Dan soal semangat nasionalisme terhadap simbol kedaulatan kita.

MOHD RAZLAN BIN MUHAMMAD RAFII
Setiausaha Politik YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Seputeh