BN Menang di DUN Ayer Kuning, Bukti Sokongan Berterusan Rakyat – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 26 April – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, menyifatkan keputusan itu sebagai bukti sokongan berterusan rakyat, khususnya pengundi Melayu, terhadap perjuangan UMNO dan BN.
“Syukur Alhamdulillah, kemenangan ini menunjukkan rakyat semakin matang dan menolak politik kebencian, perpecahan, serta permainan sentimen perkauman dan agama yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Adnan turut merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN, Dr. Ustaz Yusri Bakir, serta menyuarakan harapan agar amanah yang diberikan dapat dipikul dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad atas kepimpinan yang ditunjukkan sepanjang tempoh kempen.
“Syabas juga kepada seluruh jentera parti yang telah bekerja keras tanpa mengenal penat lelah. Kita akan teruskan perjuangan demi kestabilan, perpaduan dan masa depan yang lebih baik,” tambahnya.
BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online