Tengku Adnan Terus Prihatin: “Sumbangan Tak Banyak Bukan Alasan Kongsi Rezeki Dengan Warga Putrajaya”
PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terus menunjukkan komitmen dan keprihatinannya terhadap kebajikan penduduk tempatan apabila beliau tampil menghulurkan bantuan kepada penduduk Zon 4A, Presint 11 baru-baru ini.
Tengku Adnan atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Nan berkata, walaupun sumbangan yang diberikan mungkin tidak besar dari segi nilai, namun ia tidak pernah menjadi alasan untuk tidak membantu masyarakat setempat.
“Sumbangan saya mungkin tidak banyak, tetapi itu bukan alasan. Apa yang penting ialah keikhlasan dan semangat untuk berkongsi rezeki. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa rezeki yang saya peroleh perlu dikongsi bersama warga Putrajaya yang saya kasihi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai pemimpin, menjadi tanggungjawab beliau untuk terus mendekati dan membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Warga Putrajaya sudah seperti keluarga sendiri kepada saya. Saya percaya pendekatan ini lebih bermakna kerana ia membolehkan saya memahami dengan lebih dekat isu yang mereka hadapi,” tambahnya lagi.
Program tersebut merupakan salah satu daripada siri inisiatif kebajikan yang sering dianjurkanoleh UMNO Putrajaya.
Sikap prihatin Tengku Adnan ini terus memperkukuhkan hubungan beliau dengan komuniti setempat dan mencerminkan nilai kepimpinan yang mementingkan kesejahteraan rakyat. – UMNOPutrajaya