Sukan Medium Bina Nilai Murni, Lonjak Prestasi Pelajar – Hisamudin
PUTRAJAYA, 9 Mei – Senator Dewan Negara merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya telah merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(2), hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya menekankan bahawa penganjuran kejohanan sukan tahunan seperti ini merupakan bukti komitmen pihak sekolah dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga dalam bidang sukan dan pembentukan sahsiah diri.
“Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal seperti berlari atau bersaing, tetapi juga merupakan medium pendidikan tidak formal yang amat berkesan dalam membentuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar,” katanya.
Hisamudin turut menegaskan bahawa penglibatan dalam sukan mampu memupuk disiplin diri melalui latihan konsisten, pematuhan kepada peraturan dan pengurusan masa yang baik.
Beliau berkata, nilai-nilai seperti semangat kesatuan, kerjasama, hormat-menghormati, serta meletakkan kepentingan pasukan mengatasi kepentingan diri juga dapat diterapkan menerusi penyertaan dalam aktiviti berkumpulan.
“Sukan mendidik kita menerima kekalahan dan kemenangan dengan hati terbuka. Kita belajar untuk tidak terlalu sombong ketika menang dan tidak kecewa secara melampau apabila kalah, sebaliknya terus memperbaiki diri,” tambahnya.
Beliau juga menyeru para pelajar agar menjadikan pengalaman bersukan sebagai pemangkin kepada pencapaian lebih cemerlang pada masa hadapan, bukan sahaja di peringkat sekolah, malah hingga ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau juga berharap agar kejohanan tahunan ini terus menjadi platform penting dalam melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cergas fizikal, tetapi juga kaya dengan nilai moral dan etika yang tinggi. – UMNO Online