Berita

UMNO 79 Tahun: Terus Komited Perjuangkan Agama, Bangsa dan Negara

KUALA LUMPUR, 11 Mei – UMNO hari ini genap berusia 79 tahun, menandakan hampir lapan dekad perjuangan parti tersebut dalam membela agama, bangsa dan negara sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946.

Menurut Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ulang tahun ini merupakan waktu terbaik untuk rakyat, khususnya ahli parti, menghayati sejarah panjang perjuangan UMNO yang bermula sejak era menuntut kemerdekaan sehinggalah kini, dalam membentuk Malaysia moden dan maju.

“UMNO bukan lahir daripada perjuangan individu atau mana-mana pihak berkepentingan. Ia dibina atas asas kukuh dengan fahaman dan tujuan yang jelas, demi memperjuangkan maruah bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air tercinta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, sepanjang perjalanan parti, UMNO telah melalui pelbagai fasa penting – daripada mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan, merangka dasar pembangunan negara, hingga melahirkan generasi berpendidikan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Tengku Adnan turut menegaskan bahawa sumbangan UMNO tidak terhad kepada kaum Melayu/Bumiputera sahaja, malah turut memberi manfaat kepada semua kaum di Malaysia, selaras dengan kerjasama dalam Barisan Nasional yang pernah menerajui kerajaan.

“UMNO ialah parti yang terbukti melalui sejarah. Tidak ada sebab untuk UMNO ditolak. Kini, kita perlu kembali bersatu demi perjuangan murni ini,” katanya lagi.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa UMNO akan terus membela rakyat pada masa akan datang, sebagaimana ia telah lakukan selama ini.

“Dulu, kini dan selamanya – insya-Allah,” tambahnya. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.