Sesi Libat Urus Hala Tuju Pendidikan Putrajaya Untuk Tingkat Kecemerlangan
PUTRAJAYA – Senator Dewan Negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya hari ini menghadiri sesi libat urus bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) bagi membincangkan hala tuju pendidikan di Putrajaya.
Sesi yang turut disertai oleh beberapa ahli Exco Biro Pendidikan UMNO Putrajaya itu bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara pihak jabatan pendidikan dan pemimpin masyarakat dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar di kawasan tersebut.
Datuk Mohd Hisamudin menyambut baik jemputan tersebut dan menyifatkan ia sebagai peluang penting untuk bersama-sama menyumbang idea serta pandangan ke arah penambahbaikan sistem pendidikan di Putrajaya.
“Kami amat mengalu-alukan sesi seperti ini kerana ia membuka ruang untuk bertukar-tukar pendapat mengenai usaha memajukan pendidikan anak-anak kita. Peranan sekolah serta penglibatan masyarakat adalah amat penting dalam merealisasikan matlamat tersebut,” katanya.
Beliau turut berharap agar segala perancangan yang dirangka oleh JPWPP dapat dilaksanakan dengan berkesan demi melahirkan generasi pelapis yang berwibawa dan berdaya saing.
Sesi libat urus ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPWPP dalam memperkukuh jaringan kerjasama pelbagai pihak demi masa depan pendidikan yang lebih cemerlang di Wilayah Persekutuan Putrajaya. – UMNOPutrajaya