Aktiviti & Komuniti

Kejohanan Olahraga Mampu Bina Sahsiah dan Kepimpinan Murid

PUTRAJAYA – Kejohanan Olahraga SMK Putrajaya Presint 9(2) kali ke-17 pagi ini dirasmikan oleh Senator Dewan Negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang juga Naib Presiden UMNO Bahagian Putrajaya serta Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa penganjuran kejohanan sukan bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan platform penting untuk menguji daya saing, semangat kesukanan dan nilai disiplin dalam kalangan murid.

“Sukan mampu membentuk individu yang berhemah tinggi, bertanggungjawab dan mempunyai daya kepimpinan yang kukuh melalui latihan yang konsisten dan seimbang,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, meskipun kemenangan menjadi impian setiap peserta, nilai-nilai seperti usaha gigih, ketahanan mental dan semangat berpasukan adalah lebih penting dalam membentuk jati diri dan kekuatan sebenar seseorang.

“Sukan bukan sahaja memperkukuh tali persaudaraan dan semangat kekitaan dalam kalangan warga sekolah, tetapi juga mendidik murid-murid untuk menjunjung tinggi nilai-nilai kesukanan seperti kejujuran, hormat-menghormati dan ketekunan,” tambah beliau.

Datuk Mohd Hisamudin turut merakamkan penghargaan kepada Pengetua SMK Putrajaya Presint 9(2), Puan Mazira, Yang Dipertua PIBG, Dr. Aman Fuad Yaacob, Mohamed Zaidi Ibrahim serta barisan guru yang terlibat atas jemputan dan komitmen mereka dalam menjayakan kejohanan ini.

Beliau juga memberi semangat kepada para atlet yang bertanding, agar menjadikan kejohanan ini satu kenangan manis dan pengalaman bermakna sepanjang kehidupan persekolahan mereka. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.