UMNO Putrajaya Perkukuh Gerak Kerja Hadapi Cabaran Semasa
PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian hari ini. Mesyuarat tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh dan memperkemaskan gerak kerja parti di peringkat bahagian menjelang pelbagai cabaran politik semasa.
Dalam mesyuarat tersebut, pelbagai perkara penting telah dibincangkan, termasuk memperhalusi pelaksanaan perancangan strategik UMNO Bahagian serta menyusun semula pendekatan gerak kerja agar lebih efektif dan menyeluruh. Fokus utama diberikan kepada penyelarasan program-program akar umbi yang melibatkan semua sayap parti, agar kesinambungan perjuangan UMNO terus dirasai oleh masyarakat setempat.
Datuk Seri Tengku Adnan turut menekankan kepentingan kerjasama yang erat dalam kalangan kepimpinan bahagian, termasuk Ketua-Ketua Cawangan, bagi memastikan segala perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan. Beliau juga menyentuh beberapa isu semasa yang memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk soal ekonomi, kos sara hidup dan kestabilan politik negara.
Menurut beliau, UMNO perlu sentiasa bersedia dan responsif terhadap perubahan landskap politik serta kehendak rakyat yang semakin kompleks. Oleh itu, setiap ahli dan pemimpin di peringkat bahagian diseru agar terus bersemangat, bersatu dan bekerja keras demi memastikan UMNO kekal relevan dan terus menjadi wadah perjuangan rakyat.
Mesyuarat tersebut turut menjadi platform untuk menerima maklum balas serta cadangan daripada barisan kepimpinan bahagian bagi penambahbaikan gerak kerja dan program-program yang dirancang akan datang. – UMNOPutrajaya