Sumbangan ‘Tak Banyak Alasan’ Demi Amanah Membela Rakyat – Tengku Adnan
PUTRAJAYA – Komitmen berterusan UMNO untuk membela nasib rakyat terus dizahirkan melalui inisiatif ‘Tak Banyak Alasan’, satu program bantuan keperluan asas yang telah disalurkan oleh UMNO Bahagian Putrajaya.
Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa perjuangan UMNO bukan sekadar retorik, tetapi terus menjadi denyut nadi kepada kesejahteraan masyarakat.
Ujarnya, melalui program tersebut, bahagiannya meneruskan inisiatif turun padang dengan menyalurkan sumbangan kepada penduduk Zon 4A, Presint 11 di sini baru-baru ini.
“Program ini adalah kesinambungan daripada usaha jitu UMNO Bahagian Putrajaya dalam memastikan rakyat, khususnya mereka yang berdepan tekanan kos sara hidup, tidak dipinggirkan.
“Ini adalah selari dengan prinsip utama perjuangan parti yang mahu memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.
“Kita kongsi rezeki kepada yang memerlukan. Sumbangan ini bukan soal banyak atau sedikit, tetapi soal keikhlasan untuk membantu tanpa banyak alasan. Inilah semangat yang UMNO bawa sejak dulu iaitu membantu tanpa syarat, berkhidmat tanpa memilih musim,” ujar beliau kepada UMNO Online.
Jelasnya, sumbangan yang diberikan meliputi barangan keperluan asas harian dan diagihkan kepada penduduk yang dikenal pasti melalui jaringan komuniti setempat.
“Pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban, tetapi juga menjadi simbol kasih sayang dan solidariti kepada rakyat.
“UMNO khususnya di Putrajaya konsisten menzahirkan perjuangan parti bukan semata-mata untuk kedudukan politik, tetapi sebagai satu amanah yang diwarisi sejak penubuhannya demi menjadi pembela kepada rakyat dan kepada yang memerlukan.
“Langkah-langkah kebajikan ini juga memperkukuh asas perjuangan UMNO yang sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat. Dalam landskap politik yang sering berubah, UMNO tetap berdiri sebagai tiang seri harapan bagi ramai yang memerlukan.”
Jelasnya, UMNO bukan hanya hadir menjelang pilihan raya atau ketika populariti diperlukan, sebaliknya, ia kekal teguh berjuang di lapangan, mendengar suara rakyat dan bertindak atas nama tanggungjawab.
“Usaha ini mencerminkan bahawa perjuangan UMNO adalah perjuangan yang berterusan, bukan demi pangkat atau nama, tetapi demi memastikan prinsip ‘rakyat didahulukan’ sentiasa menjadi kenyataan,” katanya lagi. – UMNO Online