Berita

Tengku Adnan Seru Rakyat Hayati Erti Kemerdekaan, Perkukuh Perpaduan

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak rakyat Malaysia untuk menghayati makna kemerdekaan dengan menjaga perpaduan serta mengukuhkan semangat toleransi dalam masyarakat majmuk negara ini.

Katanya, kemerdekaan yang dikecapi sejak 1957 bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, sebaliknya hasil daripada pengorbanan para pejuang terdahulu yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi masa depan bangsa.

“Kemerdekaan ini amat besar ertinya. Janganlah kita rosakkannya dengan sikap negatif yang boleh memecah-belahkan masyarakat. Sebaliknya, peliharalah nikmat ini agar dapat diwariskan kepada generasi anak bangsa pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang wujud di Malaysia harus terus menjadi kekuatan utama negara dalam membina keharmonian serta kemajuan bersama.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat agar mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga kerana ia adalah lambang jati diri dan maruah bangsa Malaysia. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.