Berita

KuNan Terus Prihatin, Sumbang 130 Pek Makanan & Minuman di Surau Al-Manar Presint 14

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih mesra disapa KuNan sekali lagi menunjukkan keprihatinan beliau terhadap masyarakat setempat dengan menyumbangkan sebanyak 130 pek makanan tengah hari dan minuman di Surau Al-Manar, Presint 14.

Program yang berlangsung penuh mesra itu bukan sahaja menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim, bahkan turut memberi manfaat kepada jemaah serta penduduk sekitar yang hadir. Ini juga adalah bukti bahawa UMNO terus mendahulukan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Sememangnya usaha sebegini adalah sebahagian daripada pendekatan berterusan UMNO Putrajaya dalam memastikan kebajikan masyarakat di kawasan tersebut sentiasa terjaga, terutama dalam suasana mencabar dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ujar KuNan, ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab bersama malah UMNO Putrajaya sentiasa cuba untuk hadir bersama rakyat, membantu apa yang termampu, dan paling penting mengukuhkan ukhuwah di antara masyarakat setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jemaah Surau Al-Manar yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan.

Jelas beliau, surau bukan hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga pusat penyatuan komuniti yang berperanan besar dalam membentuk kesejahteraan masyarakat.

Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada pelbagai program kebajikan yang telah digerakkan oleh UMNO Putrajaya, selaras dengan semangat #TakBanyakAlasan @ P14 yang menekankan nilai kesungguhan untuk berbakti kepada masyarakat tanpa mengenal alasan.

Penduduk yang hadir menyambut baik usaha tersebut dan menzahirkan rasa terima kasih kepada KuNan yang tidak pernah melupakan warga Putrajaya, khususnya dalam membantu meringankan beban kehidupan seharian.

UMNO Putrajaya akan terus komited meneruskan program kebajikan dan pembangunan sosial yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, sekaligus memperkukuh kepercayaan bahawa UMNO adalah parti yang sentiasa mendampingi rakyat pada setiap masa. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.