KuNan & Warga Putrajaya Meriahkan Pertandingan Polo Malaysia dan Cahaya Cup 2025
PUTRAJAYA – Lebih 1,200 penyokong terdiri daripada pelajar dan guru sekitar Putrajaya hadir memeriahkan Pertandingan Polo Malaysia dan Cahaya Cup 2025 yang berlangsung di Padang Equestrian, Putrajaya, hari ini.
Pertandingan yang berlangsung sehingga 27 September ini menjadi tumpuan apabila diserikan dengan penyertaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama pasukan Baginda.
Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya turut turun padang menyaksikan acara berprestij ini bersama-sama warga Putrajaya dan anak-anak tempatan.
Sememangnya kehadiran murid dan guru ke program ini bukan sahaja untuk menyaksikan pertandingan, malah bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan serta memberi pendedahan kepada pelajar dalam acara sukan bertaraf kebangsaan.
Lebih bermakna, penglibatan pelajar ini juga direkodkan sebagai sebahagian daripada Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di bawah kategori Penglibatan 3 (peringkat kebangsaan). – UMNOPutrajaya