Berita

Generasi Muda Perlu Teruskan Legasi Perjuangan UMNO – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa generasi muda merupakan pewaris utama yang perlu terus memikul tanggungjawab besar dalam meneruskan legasi perjuangan UMNO bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, UMNO sejak penubuhannya telah membuktikan keupayaan sebagai parti keramat bangsa yang melahirkan pemimpin-pemimpin besar negara.

Justeru katanya, kesinambungan perjuangan itu hanya mampu diteruskan apabila generasi muda tampil mengambil peranan dengan jiwa yang kental dan semangat juang yang tidak mudah luntur.

“Untuk anak-anak muda, jadilah generasi yang berilmu, berani bersuara dengan hikmah, teguh mempertahankan kebenaran serta sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam bersama siswa Sekolah Patriotik UMNO yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan, pada Sabtu.

“Alhamdulillah, saya berpeluang bersama-sama dengan anak-anak muda yang merupakan pewaris perjuangan kita. Mereka inilah generasi yang akan meneruskan legasi kepimpinan bagi memastikan UMNO terus kekal relevan dan memperjuangkan hak rakyat.”

Tengku Adnan menegaskan, UMNO sentiasa memberi penekanan kepada pembinaan idealisme perjuangan dalam kalangan generasi muda, kerana mereka adalah tunjang kepimpinan negara pada masa hadapan.

“Program seperti Sekolah Patriotik UMNO amat penting kerana berperanan melahirkan kader pelapis yang berjiwa besar, berjati diri kukuh serta mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi selain memahami asas tujuan perjuangan parti.

“Selagi mana ada generasi muda yang bersemangat dan cintakan perjuangan, UMNO akan terus teguh berdiri dan menjadi wadah membela rakyat di setiap peringkat,” ujarnya.

Dalam ruang tersebut, Tengku Adnan turut beramah mesra dengan para siswa yang hadir.

Jelas Tengku Adnan, aplikasi Sekolah Patriotik UMNO ini adalah antara komitmen parti untuk terus mendekati, membimbing dan memperkasakan pewaris perjuangan, agar mereka mampu menghadapi cabaran masa depan dengan penuh keyakinan.

“Acara sebegini juga menjadi bukti bahawa UMNO tidak pernah mengetepikan suara dan aspirasi generasi muda, sebaliknya terus memberi ruang dan peluang agar mereka dapat bersama-sama memperkukuh parti dalam mendepani arus politik tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.