Konvensyen URA: Pembangunan Bandar Perlu Utamakan Keadilan Sosial – Tengku Adnan
PUTRAJAYA – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menegaskan bahawa pembangunan semula bandar perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan infrastruktur semata-mata.
Menurut beliau, keadilan sosial dan perlindungan terhadap penduduk asal mesti menjadi teras utama dalam setiap pelaksanaan projek pembangunan agar mereka tidak tersisih daripada arus kemajuan.
“Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) memberi ruang untuk kita menilai bagaimana pembangunan bandar bukan sekadar soal fizikal, tetapi juga soal keadilan sosial. Suara dan kebajikan penduduk asal perlu menjadi keutamaan agar mereka terus dilindungi serta mendapat manfaat daripada proses pembangunan,” katanya.
Tengku Adnan berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang diadakan hari ini.
Beliau menambah, usaha pembangunan bandar perlu dilaksanakan secara teratur melalui perbincangan dan solusi berasaskan dasar, bukannya melalui tindakan jalanan yang boleh menggugat kestabilan.
“Apa yang pasti, kita laksana solusi dalam konvensyen demi kepentingan rakyat, bukan melalui demonstrasi di jalanan,” tegasnya.
Tengku Adnan turut menzahirkan harapan agar segala usaha yang digerakkan melalui konvensyen itu mendapat keberkatan Allah SWT serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara. – UMNOPUTRAJAYA