Berita

Mesyuarat MKT: UMNO Prihatin Keresahan Rakyat Berkaitan RUU URA

KUALA LUMPUR – UMNO amat prihatin terhadap keresahan rakyat berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar telah diadakan pagi tadi yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, pemaju, orang perseorangan daripada pelbagai kaum.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata selaras dengan resolusi konvensyen, UMNO berpendirian tegas untuk menangguhkan RUU URA yang sedia ada dan tidak diteruskan untuk pembentangan di Sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga dilakukan rombakan besar dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

“UMNO melantik Naib Presiden ketiga, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mewakili UMNO bagi melakukan perundingan dan membawa pendirian UMNO bagi merombak dan menambah baik RUU URA demi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat marhaen terpelihara,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Terdahulu, telah diadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan di Menara Dato’ Onn.

Dalam perkembangan berkaitan Global Sumud Flotilla, Dr Asyraf memaklumkan UMNO akan memastikan kerajaan untuk melakukan segala usaha dan upaya bagi keselamatan dan pembebasan segera tanpa syarat dan kompromi kesemua sukarelawan Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh Regim Pengganas Zionis-Israel.

“UMNO menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus konsisten dan tegas membawa suara Malaysia untuk dunia mengiktiraf Negara Palestin dan mendesak Regim Pengganas Zionis-Israel menghentikan kezalimannya dalam operasi pembunuhan etnik yang sedang berlaku di Gaza,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.