Berita

Penambahbaikan Sistem Pendidikan Perlu Demi Generasi Berjiwa Besar – Tengku Hafiz

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan, menegaskan bahawa isu-isu sosial semasa yang semakin meruncing dalam kalangan anak muda perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, khususnya kerajaan dan institusi pendidikan.

Menurutnya yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, kepincangan dalam sistem pendidikan negara ketika ini bukan sahaja memberi kesan terhadap prestasi akademik pelajar, tetapi turut menjejaskan pembentukan sahsiah dan disiplin generasi muda.

Katanya, perkara ini perlu diambil kira dengan segera demi memastikan masa depan negara terus dipacu oleh generasi yang benar-benar berwibawa, bertanggungjawab dan berdaya saing.

“Pendidikan bukan hanya soal akademik semata-mata, tetapi juga soal pembentukan bangsa dan nilai. Generasi muda mesti dilatih untuk berfikir secara kritikal, beradab dan berjiwa besar iaitu bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menyambut baik kesepakatan dalam Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia baru-baru ini, yang antara lain menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan masalah disiplin murid serta gejala sosial yang kian membimbangkan di sekolah-sekolah.

“Usaha membendung isu ini mesti dilaksanakan secara terancang dan berterusan melibatkan semua pihak iaitu ibu bapa, guru, masyarakat dan agensi kerajaan. Kami percaya pendekatan menyeluruh amat penting untuk memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembentukan karakter,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Tengku Muhammed Hafiz turut merujuk kepada pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri baru-baru ini, yang memperlihatkan beberapa inisiatif penting dalam sektor pendidikan.

Beliau berharap agar pelaksanaan belanjawan tersebut benar-benar menepati matlamat memperkukuh sistem pendidikan nasional dan menambah baik kebajikan warga pendidik.

“Belanjawan 2026 adalah peluang untuk menilai semula keutamaan dasar pendidikan negara. Kita mesti berani melakukan penambahbaikan agar pendidikan Malaysia melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang di atas kertas, tetapi juga memiliki kekuatan moral dan jati diri yang tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Pemuda UMNO akan terus menjadi suara anak muda dalam memperjuangkan agenda pendidikan yang lebih inklusif dan progresif.

“Generasi muda hari ini adalah penentu masa depan negara. Maka, segala usaha membentuk mereka perlu disusun dengan teliti supaya mereka menjadi warga yang berwibawa, bertanggungjawab dan mampu melaksanakan kesinambungan pembangunan serta kemajuan negara,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.