Perhimpunan Agung UMNO 2025 Ditangguh Ke 14 hingga 17 Januari 2026
KUALA LUMPUR, 17 Okt – UMNO Malaysia hari ini mengumumkan penangguhan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 susulan pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 29 November 2025.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertindihan tarikh antara PRN Sabah dan perhimpunan tahunan parti yang sebelum ini dijadualkan pada 26 hingga 29 November 2025.
“UMNO Malaysia telah memutuskan untuk menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO 2025 kepada 14 hingga 17 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, penangguhan ini dibuat bagi membolehkan seluruh kepimpinan serta jentera UMNO di seluruh negara memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membantu Barisan Nasional (BN) Sabah menghadapi PRN tersebut.
“Dengan penangguhan ini, diharapkan seluruh kekuatan parti dapat digembleng untuk meraih kembali kepercayaan rakyat, seterusnya memastikan Barisan Nasional kembali mengemudi kerajaan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” ujar Dr Asyraf lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. – UMNO Online